Nasional

Kerajaan jangan kedekut dengan rakyat di saat mereka perlukan bantuan

KERAJAAN diingatkan supaya tidak kedekut dengan rakyat pada saat mereka anat memerlukan bantuan dan perhatian.

Dalam hal ini rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana wabak yang berlaku menghalang mereka daripada keluar untuk mencari rezeki.

Oleh itu Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu peka dengan derita yang sedang dihadapi oleh golongan ini.

kedekut
Najib Tun Razak

“Kerajaan perlu peka dengan derita yang sedang dihadapi oleh golongan yang paling terjejas dan umumkan langkah terbaik untuk rakyat serta permudahkan proses dan mengurangkan birokrasi.

“Kita jangan kedekut dengan Rakyat pada saat mereka amat memerlukan bantuan dan perhatian dari kerajaan,” katanya dalam hantaran di facebooknya hari ini.

Menurut Najib, golongan seperti B40 dan M40 perlu dibantu dengan pakej lanjutan.

“Bukan kerana mereka malas atau tidak produktif tetapi hakikat pandemik yang tidak mengizinkan mereka keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga,” katanya.

Najib berkata, apa yang berlaku bukan salah rakyat, malah rakyat faham jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Tetapi katanya, mereka yang berhadapan kesusahan ekoran lanjutan PKP itu perlu dibantu.

“Ia bukan salah rakyat. Rakyat akan faham jika kerajaan perlu melanjutkan PKP sekali lagi.

“Tapi ia akan jadi salah kerajaan jika PKP dilanjutkan buat kali ketiga tanpa bantuan ditambah atau lambat disalurkan,” katanya.

Sebelum ini Najib melahirkan kebimbangan dan simpati dengan cabaran yang dihadapai golongan yang hilang pendapatan dalam tempoh hampir satu setengah bulan sejak PKP bermula.

Katanya, satu setengah bulan tanpa sebarang pendapatan bukan satu tempoh yang singkat.

“Tetapi negara memang tak ada pilihan kerana kita perlu melawan pandemik Covid-19 agar ianya tidak meragut lebih ramai nyawa.

“Pakej bantuan Prihatin kerajaan yang dirangka dengan andaian tempoh PKP antara 2 hingga 4 minggu sudah tentu tidak cukup untuk membiayai kelangsungan hidup sebilangan besar rakyat.

“Saya percaya ramai yang sudah kehabisan wang pada masa ini. Wang yang diperolehi tempohari bukanlah untuk bersenang-senang tetapi buat membeli makanan untuk disuap pada mulut ahli keluarga. Kita faham hakikat ini.

“Saya tak dapat bayangkan kebimbangan yang dihadapi oleh golongan ini.

“Nasib mereka sentiasa dalam fikiran saya tiap-tiap hari sejak dua minggu yang lepas. Apatah lagi jika PKP dilanjutkan lagi?

“Jadi, kerajaan perlu menambah bantuan kepada Rakyat jika tempoh PKP perlu dilanjutkan untuk kali ketiga.

“Kerajaan perlu peka dengan derita yang sedang dihadapi oleh golongan yang paling terjejas dan umumkan langkah terbaik untuk rakyat serta permudahkan proses dan mengurangkan birokrasi,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button