Kerajaan harus bantu industri media
BAYANGKAN semua media arus perdana bankrap. Wartawan terlatih kehilangan pekerjaan dan berubah kerjaya menjadi petani serta pelbagai lagi pekerjaan lain.
Wartawan pun tidak lagi berminat untuk bekerja sebagai pegawai media menteri kerana kerajaan boleh bertukar lima kali seminggu.
Menteri, ketua pengarah buat sidang media hanya disiarkan langsung di media sosial sahaja. Selepas itu di ruang komen penuh dengan cerca serta maki hamun.
Penulisan profesional yang menggunakan bahasa yang betul sudah tiada. Sebaliknya ayat-ayat tunggang-langgang dengan ejaan disingkatkan menjadi ikutan seluruh rakyat.
Berita palsu sudah menjadi makanan harian rakyat hingga tiada siapa lagi boleh membezakannya dan tiada media utama yang boleh dijadikan rujukan.
Itulah situasi yang sedang menjurus kepada industri media di negara ini. Mutakhir Media Prima sebuah syarikat gergasi media akan membuang kira-kira 300 lagi kakitangannya.
Begitu juga dengan akhbar The Star sedang melaksanakan pelan penjimatan dan pastinya akhirnya tidak akan mampu berdepan dengan situasi kemerosotan industri media.
Utusan Malaysia yang gulung tikar sebelum ini, sedang bangkit kembali dengan jumlah wartawan yang sangat minimum.
Sejumlah kecil wartawan ini akan mengehadkan liputan berita yang mampu dilaksanakan.
Setakat ini sudah dua kerajaan bertukar tangan, tiada inisiatif dilaksanakan bagi membantu syarikat media untuk terus bertahan walaupun umum sedar pentingnya peranan media dalam pembinaan negara bangsa.
Selepas ini pelajar universiti di dalam bidang komunikasi massa khususnya kewartawanan jika mahu menjalani praktikal sekalipun sudah tiada syarikat media yang mahu mengambil mereka. – SM