Kerajaan bentuk sekretariat khas tangani tuntutan Kesultanan Sulu
KERAJAAN telah membentuk sekretariat khas untuk menangani tuntutan Kesultanan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sekretariat itu akan bertindak sebagai pusat tumpuan bagi memastikan perbincangan dan penyelarasan tugas yang lebih teratur dan sistematik dalam kalangan semua pihak yang berkepentingan.
Sekretariat itu yang dipengerusikan oleh Azalina sendiri, juga akan melibatkan Peguamcara Negara II Malaysia atau pengganti sebagai timbalan pengerusi.
“Ahli sekretariat lain termasuk individu daripada Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Digital, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Peguam Negara Sabah dan pakar undang-undang tempatan.
“Selain itu, bilik perang diwujudkan bagi memastikan segala tindakan yang diambil sentiasa dipantau dan mendapat sokongan penuh.
“Bilik perang adalah untuk menyediakan perkhidmatan sokongan kepada sekretariat khas untuk memantau kes undang-undang, kenyataan media antarabangsa, dan strategi global untuk menangani tuntutan waris Sulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.