Nasional

Kerajaan akan rangka Model Pembangunan Belia Baharu – PM

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) komited untuk terus membantu belia melalui usaha pemerkasaan belia ke arah pembangunan modal insan yang lestari dan berinovasi tinggi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata justeru, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan khususnya untuk warga belia melalui pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

“Kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif khusus untuk belia di bawah Inisiatif ke-19: Prihatin Belia.

“Kesemua usaha ini adalah demi memastikan supaya segala dasar dan inisiatif kerajaan sentiasa kekal relevan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan semasa golongan belia,” katanya dalam Amanat Hari Belia Negara 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Belia dan Sukan hari ini.

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia turut mengambil inisiatif untuk merangka Model Pembangunan Belia Baharu.

Model ini katanya bertujuan sebagai pelengkap bagi menyokong dan menambah baik mekanisme Dasar Belia Malaysia 2015-2035 sedia ada agar selari dengan dasar dan polisi terkini seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan.

Selain itu tumpuan juga akan diberi kepada usaha menangani cabaran belia terutamanya pasca-COVID-19 serta mempersiap anak muda dalam menghadapi arus perubahan landskap digital yang merangkumi bidang kemahiran.

Ini termasuk menghakupayakan belia melalui pemikiran analitik dan inovasi, kecekapan pengurusan teknologi baharu dan penekanan budaya inovasi dan kreativiti, katanya.

“Usaha KBS untuk memartabatkan pekerja belia melalui pengiktirafan profesion pekerja belia juga merupakan antara inisiatif jangka panjang yang dapat memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang kondusif.

“Ini dilakukan melalui peningkatan kemahiran pekerja belia ke peringkat profesional selain memberi nilai tambah kepada penggiat belia sebagai ejen yang membawa perubahan positif kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga dengan pencapaian barisan belia negara yang menempa kejayaan dan mengharumkan nama negara walaupun dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19.

Mereka termasuk dua remaja Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze Wen yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Harvard College di Amerika Syarikat.

Beliau juga berbangga dengan kejayaan atlet negara iaitu jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia yang merangkul kejuaraan Kejohanan All England 2021 Mac lalu dan Pandelela Rinong yang berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Terjun Piala Dunia (FINA 2021).

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sharom yang mengungguli Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Australia.

Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun dan pada tahun ini sambutan tersebut dirai secara sederhana dengan mengekalkan tema sama dengan tahun lalu iaitu ‘Dekad Ini Dekad Anda’. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button