KUALA LUMPUR: Sistem dan perisian e-Tunai Rakyat sedang giat diuji dan diperhalusi untuk memastikan pemberian RM30 kepada 15 juta rakyat Malaysia menerusi akaun e-dompet dapat dilaksanakan, bulan depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata usaha itu selaras garis masa ditetapkan dalam pelan projek seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020, Oktober lalu.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) selaku penyelia pelan projek berkenaan akan mengumumkan pengendali e-dompet terbabit melaksanakan inisiatif itu tidak lama lagi.
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM450 juta untuk tujuan itu dan jika dituntut sepenuhnya dalam tempoh Januari dan Februari ini, Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan.
“Sambutan baik juga akan membolehkan inisiatif ini diulang dengan mensasarkan lebih ramai pengguna, pedagang dan pengendali e-wallet,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.
Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mahu Menteri Kewangan menyatakan apakah status pelaksanaan pemberian RM30 kepada rakyat Malaysia yang layak melalui perkhidmatan e-dompet bermula 1 Januari depan dan menyatakan syarikat serta penyedia khidmat e-dompet manakah yang terpilih untuk melaksanakan pemberian itu.
Guan Eng berkata, kerajaan menawarkan secara `one off’ rangsangan digital bernilai RM30 kepada 15 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 untuk dibelanjakan pada Januari dan Februari ini.
Katanya, penerima hanya perlu memastikan akaun e-dompet atau e-wallet disahkan menerusi penyelia perkhidmatan terpilih.
Dengan menyediakan peruntukan RM450 juta untuk inisiatif itu, kerajaan menggalakkan budaya digital dan beralih kepada masyarakat tanpa tunai.
“Inisiatif itu adalah sebahagian daripada RM50.3 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh lima tahun untuk mentransformasikan negara sebagai sebuah negara keusahawanan, antaranya beralih kepada digital,” katanya.