Kenyataan Zahid sebabkan Muhyiddin hilang majoriti jadi PM
KENYATAAN Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa dia telah dimaklumkan ramai ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh disimpulkan sebagai Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu juga menyababkan Muhyiddin tidak boleh lagi tegas dia masih mempunyai majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
“Yang penting sekarang ialah meneliti samada Perdana Menteri masih mempunyai majoriti untuk kekal dikerusinya. Samada Datuk Seri Anwar mempunyai majoriti adalah perkara kedua dan ini sesuatu yang perlu dia buktikan,” kata Dr. Mahathir.
Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau sejak dari awal lagi menyatakan Muhyiddin tidak mempunyai majoriti untuk menjadi perdana menteri.
Namun Muhyiddin berjaya menutup kebenaran dengan membawa ketua-ketua parti mengadap Yang di-Pertuan Agong dan membuat bilangan secara pukal tanpa perlu memperinci siapa ahli Parlimen yang menyokongnya.
“Kerana itu, sejak dari perisytiharan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saya telah meminta supaya satu undi tidak percaya dapat diusulkan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jika ini dapat kita lakukan maka kita dapat mengelakkan dari perlunya mengadakan pilihan raya umum pada ketika kita masih bergelut dengan wabak Covid-19,” kata Dr. Mahathir.
Menurut Dr. Mahathir, kenyataan Ahmad Zahid juga mengesahkan bahawa sokongan UMNO terhadap Muhyiddin semenangnya bersyarat.
Dr. Mahathir berkata, apa yang sedang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang telah beliau nyatakan kepada Muhyiddin sejak dari awal.
“Ketika itu saya membuat pendirian menolak kerjasama dengan UMNO secara en-bloc kerana itu bermakna saya terpaksa menerima kesemua Ahli Parlimen UMNO termasuklah orang yang menghadapi puluhan kes di mahkamah.
“Tetapi Tan Sri Muhyiddin berkata dia sanggup bekerjasama dengan UMNO secara en-bloc walaupun dia boleh diugut oleh UMNO jika kemahuan mereka tidak tercapai.
“Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di atas tujuh tuduhan kita dapat lihat bagaimana penyokongnya mula memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hari ini, jelas apa yang saya jangka akan berlaku sedang berlaku,” kata Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir yakin sokongan UMNO kepada Anwar juga bersyarat walaupun tidak diumumkan.
“Walaupun Datuk Seri Anwar kata yang dia tidak menerima sokongan dari enam Ahli Parlimen yang menghadapi kes-kes mahkamah, sudah pasti yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid.
“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Tan Sri Muhyiddin dan menarik balik sokongan dan jatuhkan Kerajaan,” kata Dr. Mahathir.-SM