Kenyataan Najib semberono dan songsang
Peguam Haniff Khatri berkata kegagalan kerajaan melucutkan hak wang berjumlah RM114 juta milik Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bermakna bekas perdana menteri itu bebas daripada pertuduhan jenayah dihadapinya.
Pada hakikatnya, kata Haniff, pihak kerajaan bebas untuk merayu atau sebaliknya ke mahkamah tinggi bagi kes itu.
“Setakat dapatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sejumlah RM114 juta yang dirampas dari sebuah premis di Pavilion Residence pada 17.05.2018 itu tidak dapat dibuktikan adalah hasil wang mana-mana jenayah, berdasarkan dokumen-dokumen dikemukakan pihak pendakwaan,” katanya.
Ini tidak bermakna kata beliau, Najib bebas dari pertuduhan berkaitan pelbagai jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang mana Najib sudahpun disabitkan kesalahan.
Najib juga jelas beliau, berdepan dengan 25 pertuduhan berkaitan pelbagai jenayah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB, yang masih berterusan perbicaraan.
Najib juga menghadapi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk salah ubah Laporan Audit Negara bersama seorang lagi tertuduh yang telah mula dibicarakan.
Najib juga dituduh enam pertuduhan pecah amanah ke atas dana berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) bersama seorang lagi tertuduh.
Tiga lagi pertuduhan jenayah membabitkan RM27 juta dana SRC yang masih belum dibicarakan.
Haniff berkata selepas bebas daripada semua pertuduhan itu barulah Najib boleh mendakwa dirinya bersih.
Haniff juga menganggap kenyataan Najib berhubung kes itu adalah semberono dan songsang.