Kenduri Menu Rahmah diadakan di Parlimen
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Kenduri Menu Rahmah yang berlangsung di Dewan Serbaguna Parlimen, pada Isnin.
Sebanyak 15 jenama terlibat dalam program Kenduri Menu Rahmah Kasih Sayang anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ramai persatuan penyedia makanan yang menawarkan Menu Rahmah berjaya dikumpulkan dalam majlis itu.
“Seramai 2,500 jemputan telah menghadiri kenduri pada hari ini. KPDN mengucapkan terima kasih kepada semua penyedia makanan kerana menyertai majlis kenduri ini dan menyediakan makanan Menu Rahmah kepada jemputan secara percuma.
“Ini menunjukkan sinergi yang positif antara pengusaha makanan dan kerajaan dan manifestasinya adalah kejayaan penganjuran program pada hari ini,” katanya.
Kenduri itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. -SM