Nasional

Kenapa Tok Pa, Mas Ermieyati tidak didakwa?

KENAPA hanya dua individu yang didakwa berkaitan dana 1MDB? Iaitu ahli parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad.

Sedangkan ada 78 lagi individu dalam senarai penerima bantuan untuk PRU-13 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Antara penerima terbesar termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed sebanyak RM35 juta dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Apakah YB Tok Pa dan YB Emi sudah `disucikan apabila mereka telah melompat ke parti Kerajaan PPBM?

“Mengapa tergesa-gesa untuk mendakwa dua tokoh ini? Sedangkan dakwaan mereka menerima wang haram daripada Datuk Seri Najib yang kononnya bersumberkan perolehan 1MDB, perlu dibuktikan terlebih dahulu melalui kes pendakwaan Datuk Seri Najib mengenai 1MDB yang sedang berjalan?

“Secara mudahnya katakan saya terima sumbangan daripada Boss saya untuk anjurkan sesuatu program. Apakah saya perlu pastikan duit Boss saya itu adalah bersumberkan hasil yang halal atau haram?”

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Persoalan itu ditimbukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,  inilah pendakwaan terpilih era ‘Malaysia Baharu’ yang kononnya berteraskan ‘Rule of Law’.

“Bercakap pasal pendakwaan terpilih, apa cerita kes rasuah banglo dan terowong Lim Guan Eng ya?” soalnya

Tegasnya, sekalipun menurut Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA)beliau perlu pastikan, maka Mahkamah perlu mensabitkan dulu bahawa sumber yang memberikan sumbangan itu adalah sumber haram.

“Dalam kes dua tokoh ini, mahkamah belum pun isytihar sumber itu haram. Tetapi penerima pihak ketiga sudah secara tergesa-gesa didakwa. Apakah ini adil?”

Dr Asyraf Wajdi adalah antara pemimpin UMNO yang turut hadir ke mahkamah pagi ini bagi memberikan sokongan moral kepada dua pemimpin UMNO itu.

Ahmad berhadapan dengan dua pertuduhan iaitu tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai taksiran 2013 dan pertuduhan kedua, memberi keterangan palsu terhadap pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan cek tunai berjumlah RM2 juta.

Hakim Azman Ahmad ketika membuat keputusan mengenakan jaminan RM500,000 beserta dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa Ahmad diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Dalam perbicaraan berasingan, Shahrir mengaku tidak bersalah terhadap satu tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib dalam penyata cukai 2013.

Shahrir mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi terhadap tuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Azura kemudian memutuskan Shahrir diikat jamin sebanyak RM350,000 dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsanya diserah kepada mahkamah.

Sebutan kes Shahrir ditetapkan pada 24 Februari depan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button