Belang Bertempat

Kenaikan harga air bakal undang inflasi

RAMAI yang mengeluh apabila harga bekalan air akan dinaikkan 22 sen semeter padu mulai Februari , bulan depan namun kerajaan dingin dan sepi terhadap keluhan rakyat.

Kenaikan harga air, kata Naib Presiden PUTRA yang juga merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam, Datuk Asmawar Samat, adalah suatu perkara yang boleh mencetuskan inflasi. Ia juga membuatkan kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan lagi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Naib Presiden PUTRA yang juga merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam, Datuk Asmawar Samat

Beliau berkata, kumpulan yang bakal teruk terjejas adalah yang tinggal di bandar dan pinggir bandar, yang tinggal di perumahan awam yang diurus oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan perumahan murah milik persendirian.

Persoalannya, kata beliau, apakah permasalahan kumpulan terjejas dibawa keperbincangan dan perhatian Jawatankuasa Kabinet dan diputuskan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dan Madani.

“Sekiranya tidak maka Kerajaan Perpaduan dan Madani akan dilihat sebagai tidak berfungsi secara berkesan tetapi lebih kepada retorik dan riuh rendah seperti indah khabar dari rupa kerana sibuk dengan hal-hal sensasi lain.

Related Articles

“Ibarat guruh di langit berbunyi tetapi hujan tidak turun. PMX makin glamour manakala rakyat makin derita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat tertunggu-tunggu bilakah pihak kabinet akan membuat pengumuman rasmi beserta formula yang komprehensif bagi mengurangkan bebanan rakyat bawahan?

“Parti PUTRA berasa hairan bagaimana perkara asas kehidupan rakyat melibatkan harga dan bekalan air dipandang enteng dan mudah oleh pihak kerajaan.

“Sudahlah bekalan makanan lainnya seperti beras, ayam, minyak masak dan gula telah naik. Kenaikan harga air dan mungkin selepas, ini harga petrol adalah suatu perkara yang sukar dinafikan,” ujar beliau.

Umum semua tahu bahawa harga minyak dunia telah naik 2% sejurus selepas tercetusnya serangan Amerika (US) ke atas tentera Houthi dan Yaman pada Disember 2023 yang lepas, katanya.

Asmawar menegaskan, parti PUTRA membantah keras kenaikan harga air yang bakal mengundang inflasi dan akan melemas serta menyusahkan rakyat jelata nanti.

Sebaiknya, kata beliau lagi dalam kenyataan yang sama, perkara tersebut harus dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Suruhanjaya Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan negeri-negeri lainnya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan.

Ujar beliau lagi, seperkara yang belum diketengahkan adalah kualiti atau kandungan Ph dalam bekalan air yang tinggi iaitu antara 6.5 hingga 8.5.

“Sebab itu, bagi kumpulan atasan yang mampu, mereka memilih untuk memasang penapis air Ph 7.5 ke bawah di rumah masing-masing.

“Namun tidakkah kita terfikir untuk mencontohi Korea Selatan yang mana hasil penggunaan tempurung kelapa dan kelapa sawit terbuang di Asia Tenggara telah membuatkan mereka mampu membekalkan air bersih dan selamat digunakan di premis perniagaan dan rumah di Bandaraya Seoul,” jelas beliau.

Menurut Asmawar, kini ramai juga pengguna yang terpaksa membeli air minuman RM6.60 untuk 9,500 mm dan air mineral RM2.50 untuk 1,250 mm dari kedai runcit lainnya bagi menjamin kesihatan mereka terutamanya buah pinggang agar tidak terjejas.

“Tidakkah kita terfikir, untuk membuat inisiatif projek pilot di Putrajaya misalnya dengan membekalkan air dengan Ph di bawah 7.5 bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

“Bila tiba musim pilihanraya, pastinya pemimpin-pemimpin politik yang mengidamkan mahu ‘Ke Putrajaya’  berasa puas dan selamat mengopi hasil dari air yang bersih dan menyihatkan,” tempelak Asmawar.

Beliau turut merujuk kepada harga air minuman kini sudah hampir sama mahal dengan harga minyak.

“Secara perbandingan, pada Oktober 2023, harga runcit petrol RON95 adalah RM2.05 seliter; petrol RON97 RM3.47 seliter dan diesel RM2.15 seliter.

“Terpulang kepada kemampuan pihak masing-masing untuk menilainya. Sekiranya kita merasakan kurang mampu dan tertekan, eloklah kita beralih kepada gaya hidup baharu dengan membancuh air di rumah, keluar rumah untuk bekerja dengan menaiki pengangkutan awam seperti LRT dan ERL serta mengurangkan tabiat suka bercuti dan berlibur di luar negara,” saran beliau.

Beliau berkata, pentadbir kerajaan di Putrajaya sepatutnya menjadikan Putrajaya sebagai contoh untuk kos sara hidup yang rendah dan pengangkutan awam yang efektif.

“Tentunya ramai yang masih tertanya mengapa kualiti bekalan air kurang memuaskan dan keretapi bawah tanah yang terbengkalai sekian lama masih tidak diusahakan.

“Sesungguhnya, kita merasa sedih dan sugul untuk melihat isu air ketika ini umpama meletakkan kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) sama dengan kandungan Ph dalam bekalan air paip.

“Apakah ianya meMADANIkan atau meMUDARATkan? Sekiranya lebih kepada memudaratkan, elok hasrat untuk menaikkan harga bekalan air untuk dibatalkan,” katanya. – SM

BACA Kerajaan perlu beri justifikasi kenaikan air secara mendadak

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button