Nasional

Kena pukau di klinik, wanita rugi RM6,000

GARA-GARA dipukau ketika menerima rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di Alor Setar Ahad lalu, seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM6,000 apabila rantai emas miliknya lesap.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa yang berusia 60 tahun datang ke klinik berkenaan untuk mengambil ubat.
Dia telah didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali yang kemudiannya menawarkan rawatan tradisional kepada mangsa kira-kira jam 8 pagi.
“Sebelum itu suspek dikatakan menegur rantai leher emas mangsa kelihatan dipakai longgar dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa untuk mengetatkannya.
“Mangsa menyatakan telah menolak tawaran tersebut, tetapi suspek tetap mendekati mangsa sebelum beredar beberapa minit selepas itu.
“Setelah mangsa selesai berurusan di klinik tersebut, mangsa mendapati rantai leher emas yang dipakai telah tiada dan mensyaki rantai miliknya dibawa lari oleh suspek,” katanya seperti yang dipetik dari Astro AWANI.
Siti Nor Salawati berkata, kemudian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar pada jam 12.20 tengah hari setelah mendakwa dirinya diperdaya oleh seorang individu tidak dikenali semasa berada di sebuah klinik kesihatan di daerah Kota Setar.
Katanya, akibat daripada kejadian ini, mangsa mengalami kerugian RM6,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki berbangsa Cina, berketinggian anggaran 5 kaki dan berusia sekitar 60an.
“Sehubungan itu polis meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek, untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 047747222 atau mana mana balai polis berhampiran,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button