Kira-kira 100 nelayan di Pengkalan Kuala Sungai Baru dekat sini mula bimbang ekoran kemunculan lima ekor buaya bersaiz besar, sedang dan kecil sejak pertengahan bulan lalu.
Kehadiran reptilia itu sewaktu air surut jelas membuatkan kesemua nelayan tidak lagi berani mencuci bot dan tongkang termasuk mengeluarkan sampah yang terlekat di bahagian kipas bot.
Malah insiden seorang wanita warga emas digigit buaya ketika menangkap udang galah di Sungai Timun, Lubok Cina, Negeri Sembilan tidak jauh dari situ pada 4 September lalu membuatkan mereka lebih risau jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan Shahmin Rusali, 33, berkata, dia terkejut terlihat seekor buaya bersaiz besar berada tidak jauh darinya sewaktu membersihkan tongkang di pengkalan nelayan pada pertengahan bulan lalu.
“Saya sangat terkejut apabila terpandang seekor buaya yang boleh dikatakan besar berada di atas tanah sewaktu air surut.
“Bukan setakat itu beberapa hari selepas itu saya terlihat dua ekor buaya bersaiz sederhana tidak jauh dari tongkang saya ketika reptilia itu sedang makan seekor kera,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Shahmin yang juga seorang imam di Masjid Kampung Kuala Sungai Baru berkata, sepanjang lebih 15 tahun dia menjadi nelayan itu adalah kali pertama pengkalan itu melihat kemunculan beberapa ekor buaya.
Katanya, dia telah membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berhubung kehadiran reptilia itu.
Sementara itu seorang lagi nelayan Mohd. Amin Mamat, 36, berkata, dia ternampak seorang buaya bersaiz sederhana muncul ketika sedang memakan memerang.
“Saya benar-benar terkejut dan tak sangka jeti nelayan di sini ada buaya pelbagai saiz. Saya mulanya tidak percaya apabila seorang rakan memberitahu melihat reptilia itu,” katanya.
Jelasnya, kali kedua dia terlihat seekor anak buaya bersaiz kecil ketika hendak pergi ke pengkalan untuk membersihkan botnya
Katanya, ramai dalam kalangan nelayan kini tidak lagi berani turun ke air untuk membersihkan bot apa lagi membersihkan kipas bot yang disaluti sampah. – SM