PERLIS buat julung kalinya bakal menjayakan kempen ‘Perlis As Favourite Destination’ di MATTA Fair 2024 yang bertemakan ‘Perlis Damai Dan Menawan’ pada tahun ini.
Berikutan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menjemput para pengunjung yang hadir ke MATTA Fair 2024 dari 22 hingga 24 Mac ini di Kompleks Malaysian International Trade And Exhibition Centre (MITEC), Jalan Dutamas 2, Segambut, Kuala Lumpur untuk singgah di gerai pameran negeri Perlis.
Demikian titah Baginda menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di Hotel Borneo Royale, Jalan Kuhara, Tawau, Sabah, baru-baru ini.
Keberangkatan Baginda ke inisiatif yang dilaksanakan oleh YTSP Perlis sempena Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) 2024 itu disambut oleh Pengarah Operasi hotel tersebut, Kenny Chow dan Chef Eksekutifnya, Harol Joseph Fready Untala.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang Pick Lim, Panglima Briged ke-13 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Hashim Osman dan mantan Komander Rejimen 516 Askar Wataniah, Tan Sri Liew Yun Fah.
Dua juadah yang popular di negeri Perlis iaitu Kurma Daging Perlis dan Gulai Tulang Dengan Rebung yang disediakan oleh Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron dirancang untuk disajikan dalam menu buffet Ramadan hotel berkenaan.
Pada kesempatan yang sama Raja Muda menyarankan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam industri pelancongan Perlis sama ada di dalam mahupun luar negeri supaya tampilkan diri secara segera untuk bekerjasama dengan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi sama-sama menyokong penyertaan Perlis pada MATTA Fair kali ini.
Baginda bertitah, kerjasama dari semua pemain industri amat diperlukan agar penyertaan Perlis pada edisi kali ini berimpak pada tahap maksima dalam usaha untuk merancakkan lagi promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang berlangsung.
“Usaha ini juga merupakan ruang dan peluang kepada pemain industri pelancongan untuk negeri Perlis cuba mengetengahkan lagi segala produk, perniagaan atau perkhidmatan masing-masing khususnya yang melibatkan ‘Sentrik Perlis’ ke satu peringkat yang seterusnya”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.
Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dijadualkan akan berkenan berangkat ke MATTA Fair kali ini pada pukul 9.50 pagi, 23 Mac ini. – SM
BACA Maklumkan segera SOP umrah – MATTA