Kementerian Perpaduan Negara aktifkan Skuad Ihsan Madani
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah mengaktifkan Skuad Ihsan MADANI dengan keanggotaan seramai 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian, jabatan dan agensinya dibawahnya.
Majlis pelancaran Skuad Ihsan MADANI KPN telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di pekarangan lobi KPN, Putrajaya hari ini.
Skuad Ihsan MADANI adalah inisiatif murni perkhidmatan awam dalam membantu pengurusan pasca bencana banjir yang melanda yang negara.
Melalui inisiatif ini, semua kementerian, jabatan dan agensi telah mewujudkan Pasukan Sukarelawan yang bersedia untuk diatur gerak dalam misi bantuan pasca banjir, berdasarkan arahan dari penyelaras misi dan pihak berkuasa.
Aaron berkata, Skuad Ihsan MADANI adalah bukti komitmen Kementerian Perpaduan Negara dalam memupuk semangat kesukarelawanan, solidariti, dan empati dalam kalangan masyarakat.
“Pasukan ini bukan sahaja berfungsi sebagai sokongan kepada usaha-usaha perpaduan, tetapi juga sebagai
medium untuk mendekati komuniti secara langsung dan menawarkan bantuan secara cekap serta menyeluruh.
“Skuad ini akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif perpaduan, termasuk penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan, terutama dalam situasi kecemasan dan bencana.
“Ia selaras dengan visi MADANI, iaitu memperkukuh kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia,” katanya.
Sebagai simbolik pelancaran inisiatif ini, Aaron telah menyerahkan Kain Rentang Skuad Ihsan MADANI kepada lima orang wakil sukarelawan daripada KPN, jabatan dan agensi.
KPN akan terus komited dalam membantu meringkan beban mangsa banjir selaras dengan hasrat nilai MADANI yang berteraskan ‘Ihsan’. – SM