Kembali ke kuliah selepas 40 tahun
MENJADI pelarian dan umur pula telah mencecah 70 tahun tidak menghalang seorang datuk untuk kembali semula ke kelas bagi memenuhi impian memiliki segulung ijazah.
Apa yang ditinggalkan 40 tahun lalu kini cuba disempurnakan walaupun situasinya jauh berbeza.
Jika dahulu, dia hadir ke kelas dengan aman dan dikelilingi rakan sebaya tetapi dalam keadaan sekarang, pengalaman tidak lagi sama.
Di celah-celah kesan kemusnahan akibat perang saudara, Abdul Karim al Bakri menyelusuri jalan-jalan di Idlib untuk kembali semula ke univiersiti.
Suatu ketika dahulu, segala yang diimpi terpaksa ditinggalkan kerana menjaga ayahnya yang sedang sakit.
Sejak dari saat itu, hasrat untuk menyambung semula pelajaran terbantut selepas dia berumahtangga dan dikurniakan lapan orang anak.
Sepuluh tahun lalu, seperti kebanyakan rakyat Syria yang terperangkap dengan konflik, dia sekeluarga yang berasal dari sebuah perkampungan di Tamanah, Hama terpaksa menyelamatkan diri ke utara negara itu.
Bersama isteri dan empat orang anaknya, dia berpindah ke Idlib dan dari situ terdetik semula di hatinya untuk kembali ke kuliah dan memiliki ijazah.
Dalam usia yang memasuki kategori warga emas, dia mengenepikan segala perasaan malu dan segan untuk bersaing dengan pelajar yang pangkat cucu dengannya.
“Selepas kami berpindah dan kehilangan tanah serta harta benda, saya mempunyai masa dan tidak tahu hendak buat apa.
“Oleh kerana saya suka belajar, saya mula bertanya untuk mendaftar di universiti,” katanya seperti yang dilapor Middle East Eye (MEE).
Berbekalkan semangat itu, dia kini belajar di Kuliah Sejarah, Universiti Idlib dan berjanji tidak akan menoleh ke belakang bagi memenuhi cita-citanya mendapat ijazah.
Usaha dan tekadnya mendapat perhatian pensyarah di situ kerana Abdul Karim menjadi salah seorang pelajar cemerlang.
Menurut selah seorang pengajar di situ, Profesor Iyad Salat, pada tahun lalu, Abdul Karim mendapat 90 peratus bagi subjek sejarah Roman.
Salah seorang rakan sekuliahnya, Ahmed Haj Ahmed berkata, pada mulanya dia terkejut dengan kehadiran Abdul Karim tetapi menerimanya dengan tangan terbuka dan melayannya dengan penuh hormat selain berkongsi ilmu.
Menyentuh mengenai perkara itu, dia berkongsi benda yang melucukan ketika dia tanya mengenai kehadirannya ke kuliah.
Ada yang terkeliru dan menganggapnya sebagai pensyarah, bukannya pelajar.
“Bila pelajar nampak saya duduk semeja bersama mereka, saya seusia dengan datuk mereka.
“Mereka mula bertanya adakah saya doktor di universiti? Saya menjawab, “Saya adalah pelajar macam kamu”, cerita Abdul Karim.
Itu cerita warga emas yang bernasib baik kerana masih mampu untuk menganggung pengajian walaupun menjadi pelarian.
Ketika ini konflik yang berpanjangan sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan lebih 2.45 anak-anak Syria tercicir dalam pembelajaran.
Sebahagian besar mereka bercita-cita tinggi, namun ketiadaan peluang kerana dihalang oleh perang dan sengketa. – SM