POLIS akan bersikap lebih teliti dalam mempertimbangkan kelulusan kebenaran rentas daerah dan negeri yang dipohon.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, perkara itu dibuat selepas pihaknya mengesan segelintir masyarakat yang menyalahgunakan kebenaran diberikan pihaknya.
“Ada juga yang memalsukan kebenaran serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa merentas daerah dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu jelasnya, pihaknya akan terus mengawasi serta mengehadkan pergerakan terutamanya yang melibatkan rentas daerah dan negeri.
Ujarnya, pihaknya juga akan lebih teliti dalam mempertimbangkan kelulusan kebenaran rentas daerah dan negeri yang dipohon.
“Dalam usaha ini, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar SOP dan akan mengambil tindakan yang lebih tegas.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya terus patuh SOP yang telah ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak ini,” jelasnya. -SM