Keluarga terjaga, Perlis terpelihara
‘Keluarga Terjaga, Perlis Terpelihara’ adalah antara langkah paling efektif bagi melaksanakan pencegahan dan kawalan untuk mengekang risiko penularan COVID-19 di negeri ini.
Setiap ketua keluarga di Perlis hendaklah sentiasa memantau status kesihatan diri dan keluarga masing-masing pada setiap masa dan memastikan amalan kebersihan diri sentiasa dipraktikkan sepanjang waktu.
Selain itu, ketua keluarga hendaklah memastikan setiap ahli keluarga menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, menjaga penjarakan fizikal dan segera mendapatkan rawatan jika bergejala.
Pada masa yang sama, hendaklah dihadkan kehadiran pelawat ke rumah terutamanya yang tidak dapat dipastikan status kesihatan mereka.
Malah adalah dinasihatkan agar ditangguhkan dahulu seketika sebarang majlis perhimpunan keluarga atau kenduri kendara yang dirancang sejurus selepas PKP ini berakhir nanti.
Penjagaan khusus juga hendaklah diberikan kepada ahli keluarga tersayang dari kalangan warga emas dan berpenyakit kronik kerana mereka ini sesungguhnya boleh mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti COVID-19.
Demikian mengikut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Pengerusi yayasan tersebut yang telah berkenan meluluskan permohonan sumbangan seunit televisyen Ultra HD LED 70 kepada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Sumbangan berkenaan adalah untuk kegunaan penyiaran pembelajaran, taklimat dan mesyuarat secara atas talian bagi menggantikan fungsi layar projektor sedia ada yang tidak memenuhi spesifikasi penyiaran.
Susulan daripada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), premis sektor tersebut menerima banyak tempahan untuk pelaksanaan aktiviti secara atas talian.
Untuk rekod, pada penghujung tahun lalu pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah turut menyumbangkan RM11,988 untuk tujuan membeli peralatan ICT bagi sama-sama menjayakan program ‘Perlis Online Teaching’ yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena keberangkatan baginda berdua ke sektor tersebut.