Kelly Clarkson bercerai lepas 7 tahun berkahwin
PENYANYI Kelly Clarkson dilaporkan sudah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Brandon Blackstock pada 4 Jun lalu.
Ketidaksefahaman dikatakan menjadi punca Kelly mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya yang merupakan pengurus beberapa selebriti ternama Hollywood.
Menurut sumber Clarkson seperti yang dipetik Entertainment Tonight berkata, pasangan itu sudah mempunyai masalah sejak beberapa bulan lalu
“Mereka cuba membaiki hubungan. Malah, mereka berharap sesi kuarantin bersama di Montana dapat membantu mereka namun keadaan menjadi bertambah buruk.
“Lagi kerap mereka bersama, lagi keruh keadaan menjadi hingga mereka terpaksa mengambil keputusan bercerai,” kata sumber itu.
Kelly dan Brandon pertama kali berkenalan ketika bertemu pada majlis American Music Awards 2006.
Pasangan itu kemudiannya mula berkawan rapat pada 2012 sebelum mengambil keputusan berkahwin setahun selepas itu.
Hasil perkahwinan, mereka mempunyai sepasang cahaya mata iaitu River Rose, 6, dan Remington Alexander, 4.
Menerusi permohonan cerai itu, Kelly dikatakan menuntut hak penjagaan anak bersama. – SM