Politik

Kelantan dijangka catat belanjawan ‘lebihan’ pada 2025

Prestasi kewangan Kelantan pada tahun 2024 menunjukkan kejayaan pengurusan belanjawan yang seimbang antara hasil dan perbelanjaan, malah dijangka diteruskan pada 2025.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, melalui keseimbangan itu kerajaan negeri dapat menjana banyak punca pendapatan baharu serta kawalan perbelanjaan berhemah.

Menurutnya, pendekatan strategik dalam pengurusan fiskal, kerajaan negeri berjaya mengubah kedudukan belanjawan yang mencatatkan defisit kepada lebihan (surplus) menjelang akhir 2024.

“Kita beriltizam dan komited untuk melaksanakan teras belanjawan tahun 2025 iaitu ke arah seimbang pada tahun-tahun akan datang melalui punca hasil baharu dan kawalan perbelanjaan berhemah.

“Melalui pendekatan ini kita berjaya mengubah kedudukan belanjawan pada tahun 2024 yang pada asalnya mencatatkan defisit sebanyak RM178.49 juta kepada ‘surplus’, RM10.92 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Negeri di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalannya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Speaker DUN, Dato’ Mohd Amar Abdullah, mantan Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Nazran Muhammad.

Nassuruddin berkata, konsep kebersamaan dan kesepaduan yang diterapkan dalam slogan ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI) menjadi kunci kerjasama erat antara agensi negeri dan Persekutuan.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, perkara sama turut dibangkitkan dalam pertemuannya bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam.

“Hubungan yang baik dalam konteks federalisme adalah amat penting untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, matlamat yang ingin kita capai ini bukanlah hasrat saya secara peribadi.

“Tetapi ia merupakan matlamat kita bersama bagi melihat Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan dapat dikekalkan dan dikembangkan lagi sehingga anak cucu kita,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button