Nasional

Kelantan benarkan solat jemaah mulai esok

PERKHABARAN yang disambut baik oleh seluruh rakyat di Kelantan apabila mulai esok, umat Islam di negeri pantai timur itu dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah.

Selain itu, rakyat negeri Kelantan juga dibenarkan mengadakan aktiviti seperti biasa di masjid-masjid, surau dan musalla.

Perkara ini diumumkan dalam satu kenyataan hari ini oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, telah perkenan agar solat Jumaat, solat fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla dibenarkan.

Bagaimanapun semua aktiviti tersebut mesti dilaksanakan secara terkawal bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Tambah beliau, kebenaran ini setelah mengambil kira pandangan daripada Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam kenyataan yang sama, beliau juga berkata, kehadiran jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar setelah diambil kira keperluan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter termasuk di anjung dan pekarangan masjid, surau serta musalla.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, kebenaran berkenaan adalah tidak membabitkan kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jemaah yang bergejala dan berpenyakit kronik termasuk kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun, katanya, tidak dibenarkan.

“Masjid, surau dan musalla akan dibuka satu jam sebelum waktu solat dan ditutup setelah selesai,” ujarnya.

Beliau menyeru rakyat Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button