Kelam-kabut habis pemerintahan – Mat Sabu
SUASANA tidak harmoni antara parti-parti dalam Perikatan Nasional yang memerintah kerajaan ketika ini menjadi bahan sindiran pembangkang.
Presiden Parti Amanah Nasional Mohamad Sabu misalnya berkata, keadaan politik yang tidak stabil dalam Kerajaan Perikatan Nasional adalah akibat mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan secara tidak demokratik.
“Inilah akibatnya kerana tidak menghormati demokrasi mandat rakyat sepatutnya tunggulah pilihan raya selepas lima tahun ataupun pihak pemerintah pada waktu itu membubarkan Parlimen.
“Tetapi mereka mengambil secara pintu belakang sekarang menjadi kelam kabut, kerajaan tidak stabil, perdana menteri ditawan, pelabur akan datang atau tidak, kelam-kabut politik Malaysia,” kata Mohamad.
Beliau mengulas percakaran politik yang berlaku antara parti UMNO dan PPBM yang membentuk kerjasama pemerintahan melalui Pakatan Nasional.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, rakyat perlu mempertahankan sistem demokrasi secara pilihan raya dan sistem Raja Berpelembangaan.
“Akibat kerajaan pintu belakang inilah yang dapat sekarang. Kelam-kabut habis pemerintahan. Hal judi ditambah
“Apa yang kelam-kabut sangat politik Malaysia sehari dua ini? What’s goes around comes around” kata Mohamad.
Bekas pemimpin Pas yang keluar parti dan menubuhkan parti baharu Amanah itu berkata, beberapa individu pernah berjumpa dengan beliau untuk memujuk menubuhkan kerajaan baharu.
Katanya, pihak terbabit tidak mahu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan parti DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Pada akhir tahun 2019 saya didatangai oleh beberapa pihak iaitu mereka berusaha untuk menukar kerajaan.
“Di antaranya menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri dan membuang DAP daripada kerajaan.
“Tujuannnya untuk mewujudkan kerajaan Melayu-Islam. Akhirnya berlaku ‘gerakan Sheraton dan mereka dapat mengambil alih kerajaan,” dedah bekas menteri pertahanan itu.
Politik negara masih tidak reda berikutan UMNO akan membawa usul berkaitan hubungan parti itu dengan Bersatu untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada hujung bulan ini.
UMNO sebelum ini berkeras mahu bertanding di kerusi yang dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada PRU-15 nanti.
UMNO turut mendakwa terdapat cubaan oleh Bersatu untuk membeli ahli-ahli UMNO supaya menyertai parti tersebut.-SM