PolitikPRK

Kejayaan bersama muafakat nasional – Abdul Hadi

PAS mengucapkan tahniah atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili suara pembangkang di Pilihn Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, dan menyifatkan keputusan ini sebagai kejayaan bersama Muafakat Nasional.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan ini menunjukkan penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah, seterusnya mengorak langkah bagi mengukuhkan kerjasama dan integrasi yang lebih erat di peringkat nasional.

“Kekalahan PH (Pakatan Harapan) dalam pilihan raya kecil ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH membela kebajikan rakyat dan janji manifesto yang tidak tertunai, di samping petanda rakyat menolak budaya politik ekstrem dan fitnah melampau.

“Pas merakamkan setinggi penghargaan kepada para ahli dan petugas PAS yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan, dan juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari ini.

“Kepada Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng, marilah kita bersama membela kebajikan rakyat dan mengukuhkan agenda perpaduan nasional dengan sebaiknya di Parlimen,” katanay dalam kenyataan malam ini.

PRK Tanjung Piai menyaksikan BN menang selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button