![](/wp-content/uploads/2025/01/198e6959-9141-4904-91ed-7b5e51adf945.jpeg)
Kefahaman luas, kesedaran bantu capai pembentukan negara bangsa Malaysia – Raja Muda Perlis
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kesedaran dan kefahaman luas akan membantu mencapai hasrat dan cita-cita pembentukan negara bangsa Malaysia dengan berbekalkan semangat toleransi dan persefahaman dalam membina satu kesamaan identiti yang kukuh.
Identiti dan keperibadian yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan akan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri beberapa undangan sempena perayaan menyambut Tahun Baru Cina di ibunegara pada hari ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, aspek adat yang telah menjadi teras identiti dan keperibadian negara ini juga telah dapat diterima dan dihormati oleh setiap lapisan masyarakat. Pelaksanaannya walaupun bukan sesuatu yang mudah, namun pelbagai cabaran dan rintangan perlu dan nwajar dihadapi dengan matang serta berhikmah bagi memastikan keharmonian sosial rakyat sentiasa stabil, hidup aman damai dan sejahtera’.