Politik

Kedudukan Bersatu lebih baik berbanding pesaing

KALAU parti Bersatu tidak sapu bersih atau menang seperti mana yang disasarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lepas, ia bukan bermakna Presiden parti harus diganti.

Jika begitu kaedahnya maka parti-parti pesaing Bersatu yang lain, yang tidak menang besar, harus menggantikan Presiden parti masing-masing. Barulah adil dan saksama.

Jangan ditabuh Bersatu sahaja kerana parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini tidaklah berada dalam keadaan mendesak yang teramat sangat sehingga memerlukan Abah diganti oleh individu lain.

Dalam menerajui parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Bersatu dan lain-lain parti pesaingnya harus dan perlu duduk di bawah satu payung besar.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Faiz Na’aman, prestasi parti itu sebenarnya adalah lebih baik berbanding kebanyakan pesaingnya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Bersatu menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Pejuang, Muda, Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

DAP? Tidak perlu dibandingkan dengan Bersatu!

PAS juga masih teguh dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan mempunyai hubungan rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Baru-baru ini, penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, prospek Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) suram terutamanya berikutan kegagalan percubaannya untuk menjalin kerjasama dengan Pejuang dan PH.

Azmi berpendapat, individu lain harus mengambil alih kepimpinan Bersatu daripada Muhyiddin.

Namun menurut Faiz, parti itu yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin dan tiada perbincangan diadakan untuk menggantikannya sebagai presiden parti.

BN memenangi 40 kerusi pada PRN Johor, diikuti DAP dengan 10 kerusi dan PN dengan tiga kerusi. PKR, Amanah dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, BN memperoleh 43.11% daripada undi popular, manakala PN 24.04%.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal berkata, usaha partinya untuk menjalin kerjasama dengan parti lain bukanlah tindakan terdesak, sebaliknya merupakan strategi bagi menjamin kemenangan.

“Selain berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa, politik adalah mengenai memikirkan kaedah terbaik untuk menang dan membentuk kerajaan,” katanya.

Tambahnya, Bersatu menerima permintaan daripada parti-parti lain untuk membincangkan hala tuju pada PRU15.

“Mereka meminta bertemu dengan Muhyiddin selepas melihat dan mengalami prestasi buruk pada pilihan raya baru-baru ini. Mungkin mereka sedar bahawa pertembungan banyak penjuru akan membolehkan golongan kleptokrat kembali berkuasa dan mereka mahu menghalangnya.”

Beliau berkata, ini bukan masanya untuk menggantikan Muhyiddin.

“Kita ada ramai pemimpin berkebolehan yang bersedia untuk menggantikan Muhyiddin apabila tiba masanya, tetapi sekarang ini kita fokus kepada usaha menyatukan parti untuk PRU15,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu telah beri Biro Politiknya yang diketuai Muhyiddin, mandat penuh untuk membincangkan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU15.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh MPT selepas PRN Johor. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button