Kediaman Ronaldo dimasuki perompak
KEDIAMAN Cristiano Ronaldo dimasuki perompak dan beberapa barangan peribadi miliknya dicuri sewaktu pemain itu beraksi bersama Portugal, semalam.
Kejadian rompakan tersebut berlaku di kediaman bernilai 7 juta pound (RM37.5 juta) dekat Madeira, Portugal, sewaktu bintang Juventus berusia 35 tahun itu sedang bermain menentang Sepanyol.
Pasangannya, Georgina Rodriguez juga tidak berada di rumah kerana menghadiri Minggu Fesyen Paris.
Menurut laporan akhbar tempatan, Diario de Noticias Madeira, suspek didakwa telah menyelinap masuk ke rumah berkenaan selepas salah seorang staf Ronaldo membuka pintu garaj.
Polis difahamkan sedang berusaha memburu suspek tersebut.
Jersi Juventus dikatakan antara barang yang di bawa lari perompak tersebut.
Saudara kepada bintang bola sepak itu telah menguatkan bunyi alat penggera.
Polis telahpun berkunjung ke kediaman itu dan berkata, suspek telahpun dikenal pasti.
Suspek digambarkan sebagai seseorang yang dikenali pihak polis hasil bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman tersebut.
Buat masa ini, tiada tangkapan dilakukan lagi. Bagaimanapun, masih belum dipastikan sama ada ibu Ronaldo, Dolores ataupun abangnya, Hugo yang tinggal di kediaman tujuh tingkat itu berada di rumah sewaktu kejadian rompakan tersebut berlaku.
Penyerang Juventus, Cristiano menghabiskan masanya sewaktu peringkat awal arahan perintah berkurung ekoran coronavirus dengan menetap di dua tingkat teratas kediaman itu bersama Georgina dan anak-anak mereka.
Kediaman mewah yang dibeli pada 2015 itu, menawarkan pemandangan laut yang luar biasa, serta dua kolam renang bersaiz Olimpik, jakuzi dan padang bola sepak selepas kerja-kerja pengubahsuaian yang mengambil masa selama empat tahun.
Namun, mereka kemudiannya berpindah ke sebuah vila yang dilengkapi taman kira-kira setengah jam perjalanan menaiki kereta daripada kediaman lama sebelum terbang pulang ke Itali. – The Sun UK – SM