Kedah harus tuntut pampasan Persekutuan, bukan Pulau Pinang – PBAPP
PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berpendapat Kedah harus mendapatkan pampasan yang adil dari Kerajaan Persekutuan kerana menjadikan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air di utara Semenanjung.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa, berkata air mentah dari Ulu Muda bukan hanya memberi faedah kepada 1.77 juta penduduk di Pulau Pinang tetapi, juga dinikmati keseluruhan 4.2 juta penduduk di tiga negeri wilayah utara, termasuk Perlis dan Kedah.
Beliau berkata, wawasan Kerajaan Persekutuan melalui projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berasaskan gabungan kekuatan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak untuk menjadi pusat ekonomi dan hab teknologi bertaraf dunia tidak akan dapat dicapai tanpa jaminan bekalan air untuk semua negeri berkenaan.
“Sekiranya Kedah serius ingin memulihara Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau, ia harus mendapatkan pampasan yang adil dari Kerajaan Persekutuan, bukan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP secara terbuka menyatakan sokongan kepada Kedah untuk mendapatkan pampasan kerajaan Persekutuan bagi pemuliharaan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air NCER sekiranya terma dan syarat tertentu bagi pemuliharaan dipenuhi.
Jaseni berkata, antara syaratnya adalah mewartakan 163,000 hektar kawasan hutan hujan di Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan simpan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Selain itu, katanya, mengenakan larangan sepenuhnya kepada semua aktiviti pembalakan dan perlombongan, termasuk perlombongan mineral elemen nadir bumi.
“Sekiranya Kedah menerima terma dan syarat ini, kerajaan negeri itu boleh mengharapkan sokongan penuh kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP untuk berunding dan mendapatkan pampasan Persekutuan untuk pemeliharaan Ulu Muda demi kepentingan NCER dan rakyatnya,” katanya.
Jaseni mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Rabu lalu yang menuntut kerajaan Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun untuk pengambilan air mentah dari Sungai Muda. – BERNAMA