Nasional

Tarik balik pengharaman buku G25 menunjukkan kerajaan mendukung kebebasan bersuara

KEPUTUSAN kerajaan menarik balik pengharaman buku oleh kumpulan prokesederhanaan G25 merupakan petanda jelas dan jitu dalam mendukung rasa hormat terhadap hak asasi manusia, terutamanya berkaitan dengan kebebasan bersuara.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata: “Keputusan penting ini selaras dengan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan setiap orang berhak kepada kebebasan mengeluarkan pendapat dan buah fikiran, termasuk kebebasan untuk memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran menerusi mana-mana media dan tanpa mengira sempadan.”

Menurut laporan itu, penarikan balik pengharaman buku bertajuk ‘Breaking The Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy’ oleh G25 telah direkodkan secara rasmi dalam warta persekutuan.

Laporan itu berkata pembatalan arahan pengharaman itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertarikh 21 Nov dan direkodkan dalam warta persekutuan bertarikh 10 Dis.

Waytha Moorthy berkata kerajaan akan terus membina sebuah masyarakat harmoni “yang menghormati pelbagai pendapat dan pandangan mengenai isu-isu asas, membenarkan lebih banyak perbincangan intelektual, sekaligus membolehkan idea berkembang dan ditambah baik dari semasa ke semasa”. – BERNAMA

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button