Kebajikan golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil akan terjaga – PN
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan gabungan parti itu akan menjaga kebajikan golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.
Antaranya, hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran bernilai tinggi perlu dioptimumkan melalui insentif khas bagi menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran cekap.
Muhyiddin juga menerusi PN melihat sektor perikanan perlu dimodenkan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan dengan mewujudkan skim pembangunan yang terancang.
Dalam masa sama, penggunaan tanah terbiar milik Kerajaan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk kebun komuniti juga perlu dioptimumkan.
“Sekiranya PN menjadi Kerajaan, bantuan tunai RM1,200 setahun kepada pesawah (Bantuan Tanaman Padi) dan RM800 setahun kepada pekebun kecil (Bantuan Musim Tengkujuh) akan disediakan.
“Bagi meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan pula, PN menawarkan penyediaan latihan serta bantuan khidmat nasihat,” katanya.
Perkara itu disampaikan Muhyiddin dalam Majlis Pelancaran PN Best menerusi Tunjang 12 yang berkait dengan usaha untuk mentransformasi petani, peternak, nelayan dan pekebun kecil.