
Kayuhan ke Mekah bukan untuk cipta rekod – Qobin
KUALA LUMPUR 30 Mac – Penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin dan pelakon drama serta penggiat seni, Amar Baharin, akan memulakan kembara berbasikal ke Tanah Suci Mekah pada 27 April 2025.
Kayuhan murni ini akan bermula dari Arau, Perlis, dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, yang berkenan melepaskan kayuhan tersebut.
Menurut Amar, idea untuk kayuhan ini tercetus selepas beliau dan Qobin sering melakukan rutin berbasikal sehingga 200 kilometer (KM) seminggu. “Setiap minggu, kami berkayuh antara 100 hingga 200 kilometer. Jadi, tidak mustahil untuk kami berkayuh ke Tanah Haram,” katanya.
Qobin menjelaskan bahawa mereka akan memulakan kayuhan dari Perlis ke Bangkok, sebelum menggunakan pengangkutan udara ke India. Dari India, mereka akan meneruskan kayuhan melalui sempadan Pakistan, Iran, dan UAE, sebelum akhirnya memasuki Arab Saudi. “Kami tidak akan melalui Myanmar dan Bangladesh kerana kedua-dua negara tersebut sedang bergolak dan dinasihatkan oleh beberapa pengembara sebelum ini untuk mengelakkan laluan tersebut,” jelas Qobin.
Qobin menegaskan bahawa misi ini bukan bertujuan untuk mencipta rekod, tetapi merupakan salah satu impian beliau untuk mengembara ke Mekah melalui darat. Amar turut berkongsi hasrat yang sama. “Ini adalah impian kami untuk sampai ke Tanah Suci dengan cara yang berbeza dan bermakna,” ujar Qobin.
Amar pula menyampaikan harapannya agar perjalanan mereka diberkati. “Doakan agar perjalanan kami selamat, diberikan kekuatan dalam setiap kayuhan, dan kami berjaya sampai ke Mekah dengan umrah yang mabrur,” katanya.
Kedua-dua pengembara ini merancang untuk berkayuh antara 80 hingga 120 kilometer sehari dan menjangkakan tempoh perjalanan antara 2 hingga 2.5 bulan untuk sampai ke Mekah. Mereka akan menggunakan dana sendiri untuk membiayai kembara ini.
Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan dan menyokong perjalanan Qobin dan Amar, mereka boleh melayari laman sesawang www.qanda.my (akan aktif pada awal April 2025), serta platform media sosial seperti Tiktok, YouTube, Instagram, dan Facebook peribadi Qobin dan Amar.