Nasional

Kayuhan Klasik Bukit Rambai curi tumpuan orang ramai

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 25 Jun – Orang ramai bagaikan terpaku melihat seorang lelaki berpakaian lusuh selepas menoreh getah
dengan tong-tong susu getah terletak di basikal jenama Hercules sambil mengayuh perlahan-lahan menyusuri
laluan Bukit Rambai melalui Batang Tiga hingga ke Muzium Kapal Selam di Klebang.

Ada pemandu kereta membunyikan horn, ada pula membuka tingkap melambai tangan begitu orang ramai yang ternampak lelaki berusia 61 tahun itu gigih mengayuh basikal klasiknya.

Seperti tidak terkata kerana Bukit Rambai atau Klebang tidak terdapat ladang getah tiba-tiba muncul
seorang lelaki berpakaian lusuh mengayuh basikal dengan selambanya.

Mohd. Nasir Wahab mengenakan pakaian penoreh getah mencuri perhatian orang ramai.

Mohd. Nasir Wahab, 61, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah salah seorang daripada hampir 200 peserta
yang menyertai Kayuhan Sulung 2022 Basikal Klasik Bukit Rambai, Melaka hari ini.

Tidak kurang mencuri tumpuan dengan seorang lelaki yang lengkap beruniform Askar Jepun sewaktu menjajah
Malaya adalah antara yang menjadi perhatian dalam program anjuran Kelab Basikal Klasik Bukit Rambai dan
Kelab Asamboi Bikers itu.

Majlis pelepasan telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM),
Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Keunikan kayuhan itu apabila hampir sebahagian besar daripada peserta yang datang dari seluruh negara
menggunakan basikal sejak 1930-an seperti Raleigh, Hercules, Land Rover, basikal posmen, Norton, Triumph,
Philips, Robin Hood dan Hooper.

Peserta Kayuhan Sulung 2022 Basikal Klasik Bukit Rambai bergambar kenangan di Muzium Kapal Selam, Klebang, Melaka

Paling mencuri tumpuan apabila setiap peserta pula mengenakan pakaian era 1940-an keunikan dan nilai
artistik yang mereka pamerkan.

Rata-rata mereka memakai kostum sekali gus menyorot kembali zaman dahulu kala seperti uniform Askar Melayu
pada zaman British dan Jepun, uniform polis dan sebagainya.

Kesemua peserta bersemangat mengharungi kayuhan sepanjang 15 kilometer (km) yang bermula dari Taman Rambai
Utama hingga mencuri tumpuan orang ramai terutama pemandu kereta yang berselisih dengan kumpulan itu
sambil membunyikan horn.

Seorang peserta Mohd. Nasir Wahab, 61, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, dia teruja setiap kali
menyertai kayuhan basikal klasik yang tidak dapat dinilaikan dengan kata-kata.

Dia yang mengenakan pakaian arwah bapanya sewaktu menjadi penoreh getah paling mencuri tumpuan termasuk
basikal milik arwah datuknya jenis Hercules dilengkapi dengan tong-tong untuk mengisi susu getah.

“Inilah harta peninggalan arwah ayah dan datuk. Saya gunakan harta ini setiap kali menyertai kayuhan
basikal klasik,” ujarnya.

Bagi Adnan Bahari, 49, dari Temerloh, Pahang pula berkata, tujuan dia menyertai kayuhan tersebut kerana
dapat bertemu dengan ramai kenalan di samping melihat banyak basikal klasik yang belum pernah dilihatnya.

Dia yang mengenakan uniform polis tahun 1940-an menggunakan nama Lt. Adnan dijahit pada baju yang
dipakainya sambila membawa trompet dan Jalur Gemilang.

“Keseronokan kayuhan ini tidak dapat digambar dengan kata-kata walau jauh program dianjurkan saya pasti
akan luangkan masa,” kata kakitangan Uda Daya Urus di Kuala Lumpur.

Sementara itu Pengerusi program, Roslan Mohd. Salleh berkata, program itu mendapat sambutan mengalakkan
daripada peserta yang datang dari seluruh negara.

Sehubungan itu katanya, acara itu akan dijadikan sebagai acara tahunan dan mungkin akan berkoloborasi
dengan Perbadanan Muzim Negeri Melaka (Perzim) khususnya sempena sambutan Kemerdekaan negara Ogos nanti.

“Alhamdulillah, program hari ini bukan sahaja mendapat sambutan tetapi juga berjalan lancar sepanjang 15
kilometer (km) laluan kayuhan,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button