Belang Bertempat

Kasihan rakyat negeri Melaka, Covid masih ada, nak buat PRN pula

RATA-RATA rakyat negeri Melaka tidak bersetuju Kerajaan Negeri dijatuhkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan. Rakyat merasakan Kerajaan yang sedia ada masih lagi baru dan berupaya mentadbir Kerajaan Negeri.

Ketika Melaka masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19, ini adalah satu tindakan yang tidak wajar. Tambahan pula Melaka amat bergantung kepada industri pelancongan.

Semua pihak tahu sektor pelancongan dan perniagaan baru sahaja dibuka dan rakyat negeri pun baru sahaja mahu bernafas.

Dalam tempoh dua bulan, Melaka akan berhadapan dengan PRN selepas Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pembubaran tersebut dibuat atas cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas beliau kehilangan majoriti apabila empat ADUN menyatakan tidak lagi percaya kepada kepimpinan beliau.

Senario yang melanda Melaka hari ini berpunca daripada tindakan ADUN UMNO (BN) menjatuhkan Kerajaan BN sendiri dan itu adalah satu tindakan yang tidak masuk akal walau apa pun alasannya.

Adakah tercetusnya keadaan di Melaka ini kerana perebutan kuasa di negeri itu ataupun perbalahan akibat rebutan rampasan perang?

Seharusnya diperlihatkan dengan jelas kepimpinan UMNO meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Ini yang sepatutnya berlaku. Bukan memperlihatkan kepimpinan UMNO tidak meletakkan kepentingan rakyat di hadapan mereka.

Perebutan kuasa adalah segala-galanya. Kini kuasa serta mandat sudah dikembalikan semula kepada rakyat. Apabila tiba masanya diadakan PRN Melaka, tunggu dan lihat perhitungan rakyat di peti-peti undi.

Pilihan Raya Negeri Melaka ini ada juga yang berkata, dilihat sebagai medan untuk menguji kekuatan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya di Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan bubar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button