PRK

Karim yakin mampu beri perkhidmatan terbaik

CALON Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Datuk Karim Bujang yakin mampu memberi perkhidmatan terbaik sekiranya terpilih selaku Ahli Parlimen Kimanis di Sabah.

Beliau yang pernah memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama lima penggal berkata, pengalaman sebagai wakil rakyat sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menyampaikan suara rakyat Kimanis sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Karim, 67, dari Kampung Brunei, Kimanis adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013 dan pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah sebagai Pembantu Menteri Kewangan dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

“Saya akan melakukan yang terbaik. Saya pun biasa menjadi ADUN. Saya tahu apa perlu dilakukan oleh (seorang) wakil rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di Beaufort hari ini.

Karim yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis berkata, beliau tidak mahu terlalu yakin sebaliknya akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya itu.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan pertandingan satu lawan satu berdepan Karim bagi kerusi PRK Kimanis sebagai ‘perlawanan persahabatan’.

“Ini satu perlawanan persahabatan antara orang lama dan orang baharu yang saya kenal cukup lama ketika beliau bersama UMNO dan menjadi ADUN selama (hampir) 25 tahun.

“Saya orang baharu, ibarat anak didik beliau (Karim) tetapi beliau sudah beralih parti dan kita (BN) akan lawan (calon Warisan),” katanya yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Mohamad merupakan bekas ADUN Bongawan selama sepenggal selepas tewas pada PRU14 kepada Dr Daud Yusof dari Warisan bagi kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala pengundian awal pada 14 Januari ini.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Pemilih itu terdiri 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button