Kanak-kanak perempuan 5 tahun maut dirempuh peluncur salji
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas dilanggar oleh seorang peluncur di Pergunungan Alps Perancis.
Kanak-kanak itu dilaporkan akan belajar untuk bermain ski bersama empat lagi kanak-kanak yang lain pada Sabtu lalu.
Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang berada di laluan ski Serpentine yang diklasifikasikan sebagai ‘biru’, yang bermaksud lereng yang mudah.
Tiba-tiba seorang peluncur dari atas meluncur dengan laju sebelum terlanggar mangsa seperti yang dilaporkan oleh Daily Star.
Peluncur itu dikatakan cuba mengelak kanak-kanak perempuan tersebut tetapi tidak berjaya lalu melanggarnya.
Kejadian ngeri itu berlaku di wilayah Haute-Savoie di Pergunungan Alps Perancis, 50 batu dari bandar Switzerland, Geneva.
Sebuah helikopter dihantar ke resort ski tersebut, namun mangsa disahkan meninggal ketika diterbangkan ke hospital.
Peluncur salji lelaki berusia 40 tahun itu ditangkap dan polis turut melakukan siasatan atas kematian kanak-kanak malang berkenaan.
Bedah siasat ke atas mangsa yang berasal dari Britain akan dijalankan pada hari ini bagi menentukan punca sebenar kematiannya. – SM