Politik

Kampung baru Cina, tunggu masa yang sesuai – MB

Isu desakan DAP berhubung pemberian hak milik tanah kampung baru Cina di negeri ini sedia untuk dibincangkan kerajaan negeri Perak bersama parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, perkara itu (perbincangan) bukanlah dalam masa terdekat sebaliknya akan diadakan pada satu masa yang sesuai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan terbuka berhubung hal ini menerusi pandangan semua kepimpinan negeri yang diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Justeru itu katanya, beliau bersedia untuk berbincang dengan rakan komponen dalam PH mengenai isu tersebut sebelum membuat keputusan lanjut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, apa juga yang kita (kerajaan negeri) lakukan akan mendapat pandangan semua pihak.

“Tentunya apa yang diperkatakan pada Konvensyen DAP baru-baru ini akan mendapat perhatian pimpinan PH Perak. Kita akan berbincang tentang perkara itu dan kita akan buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Santai dan Pelancaran Logo Dana Kreatif Perak @PORT di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di Ipoh semalam.

Perak Gazette sebelum ini melaporkan, DAP Perak pada 24 November lalu mendesak kerajaan negeri menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-41 (PRU-14) lalu iaitu pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Pengerusinya, Nga Kor Ming semasa berucap pada Konvensyen DAP Perak berkata, beberapa janji lain yang terkandung manifesto tawaran Pakatan Harapan (PH) sebelum itu juga akan dituntut.

Desakan sama pernah dibuat Kor Ming seperti dilaporkan Bernama semasa berucap pada satu majlis di Sekolah Menengah Persendirian San Min, Teluk Intan pada 18 Ogos tahun lalu.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal semasa menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun. – Perak Gazette

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button