Kajian terperinci adakan sidang Parlimen secara hibrid
Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelan konsep sidang Parlimen secara hibrid berasaskan penyertaan ahli-ahli Parlimen yang hadir secara fizikal dan juga secara maya.
Menurutnya, selaku menteri yang bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen beliau telah berbindang dengan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di Pertua Dewan Negara berkaitan cadangan tersebut.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Yang Di-Pertua bagi kedua-dua dewan yang turut membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid.
Perbincangan merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.
Takiyuddin berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.
“Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan Ahli-ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.
“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.
Sesi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara digantung sejak Darurat diisytiharkan pada 12 Januari lalu sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.-SM