Kajian ‘big data’ boleh jadikan penyangak dimuliakan
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kempen politik yang diasaskan kepada kajian big data boleh menjadikan seorang penyangak dimuliakan dan disokong.
Menurutnya, orang ramai boleh melupakan keburukan seseorang dan menjadinya hero yang didewa-dewakan melalui kempen yang dilakukan hasil analisis big data oleh pakar.
“Big data ini juga berguna dalam bidang politik. Analisa big data oleh pakar akan kenal pasti apa yang boleh menguasai pemikiran pengundi umpamanya. Dengan pengetahuan ini maka kempen boleh diadakan supaya pengundi terpikat dan menyokong.
“Di masa lampau ini kita sering lihat calon yang buruk mendapat sokongan dan kemenangan,” kata Dr. Mahathir melali entry terbaharu beliau di blog miliknya, Che Det.
Jelas Dr. Mahathir, di zaman informasi ketika ini maklumat boleh diputar sehingga yang buruk menjadi baik dan sebaliknya.
Menurutnya, kebanyakan masyarakay belum faham kegunaan big data atau maklumat yang amat luas dan terperinci.
Namun sudah ada perusahaan besar dalam bidang tersebut antaranya ialah Cambridge Analytica yang memberi khidmat analisa maklumat untuk tujuan tertentu.
“Melalui pengumpulan data yang menyeluruh berkenaan individu dalam sesuatu masyarakat, maka pihak pakar analisa boleh kenal pasti sifat berkenaan apa yang disukai dan tidak disukai oleh individu berkenaan dan seterusnya oleh masyarakat.
“Dengan pengetahuan ini cara mempengaruhi fikiran majoriti anggota boleh ditentukan,” kata Dr. Mahathir.
Justeru menurut beliau, di zaman ini ‘pukau moden’ berasas kepada sains dan psikologi dilakukan dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada seseorang atau sesuatu kumpulan sehingga mereka melaku perbuatan yang luar biasa.
Menurutnya, maklumat terperinci dan menyeluruh (big data) berkenaan seseorang atau sesuatu kumpulan boleh didapati dari segala kegemaran memakan, membeli-belah, jenis hiburan, sukan, pelancongan dan lain-lain. Data yang didapati boleh dianalisa dengan komputer dan peribadi ditentukan.
Dari data tersebut strategi boleh dibentuk untuk mencapai matlamat.
“Kos oleh pakar analisa tetap tinggi. Hanya mereka yang kaya raya sahaja yang boleh upah.
“Tetapi bagi mereka yang berkepentingan dan berduit, mendapat khidmat pakar analisa big data tetap berbaloi. Fikirkanlah melalui cara ini pencuri boleh jadi hero yang didewa-dewakan,” kata Dr. Mahathir.-SM