Politik

Kaji semula laptop percuma, saluran TV pendidikan

KERAJAAN perlu meneliti semula kaedah pemberian 150,000 laptop percuma bagi tujuan pendidikan sekolah yang kini sekali lagi perlu menjalani pembelajaran dalam talian.

Laptop yang sepatutnya mula diedarkan pada bulan Februari itu kini masih lagi timbul tanda tanya mengenai pelaksanaannya.

Sedangkan sekolah sudahpun ditutup di seluruh negara digantikan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang pasti memerlukan peranti seperti laptop.

Malah, dana bagi tujuan pelaksanaan pemberian laptop percuma itu juga didakwa sudahpun dikutip daripada syarikat berkaitan kerajaan dan organisasi korporat.

Justeru, mungkin terdapat kesilapan dalam pelaksanaannya dan perkara itu perlu dipandang serius untuk diteliti supaya tidak menjejaskan PDPR yang perlu dihadapi para pelajar bermula Isnin lalu.

“Kini sudah hampir enam bulan perkara ini berlalu, namun tiada berita dari Kerajaan, dimana silapnya?

“Mula-mula berjanji akan diedarkan pada bulan Februari, tunggu punya tunggu, puasa sudah raya pun sudah, duit sudah ada, cuma proses pembelian sahaja dan pengurusan penghantaran tidak kunjung tiba.

“Kita pun tak tahu dimana silapnya, susah ke nak beli laptop? Ada banyak jenama dan banyak kilang.

“Kalau tak boleh beli semua dalam satu jenama, belilah pelbagai jenama, perkara sangat mudah, namun gagal dilakukan dengan mudah.”

Demikian tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii dalam satu hantaran Facebooknya meminta kerajaan memperbaiki kaedah pemberian laptop.

Tambahnya, selain pemberian laptop, Kementerian Pendidikan juga digesa untuk melihat semula kualiti bahan pembelajaran yang disiarkan menerusi Didik TV.

Ini termasuklah penambahan saluran bagi pelbagai silibus pendidikan supaya tiada pelajar yang tercicir untuk mengulangkaji pelajaran di semua peringkat.

“Kementerian Pendidikan berjanji akan menambah tv pendidikan dengan pelbagai silibus, setelah diumum, dibiarkan begitu sahaja, bahan video tidak berkualiti dan tidak cukup untuk memberi ilmu kepada anak-anak dibuat sekadar lepas batuk di tangga.

“Bukan SPM sahaja yang perlu mengulang kaji, anak-anak dari darjah 1 hingga tingkatan 5 juga tidak mahu ketinggalan,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button