Nasional

Kadar pematuhan SOP PKP tinggi di Kuala Lumpur, Selangor

KADAR pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 13 Jan lepas mencapai lebih 96 peratus di semua enam daerah di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly berkata sepanjang tempoh itu sehingga semalam, hanya 1,496 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil langkah lebih tegas dengan tidak lagi memberi amaran sebaliknya akan terus dikompaun jika gagal mematuhi SOP sebagai langkah membendung peningkatan kes COVID-19.

“Sebanyak 48,440 permohonan rentas negeri diterima di semua daerah dan 2,050 permohonan ditolak kerana alasan untuk melakukan pergerakan tidak kukuh,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata kadar pematuhan SOP PKP di negeri itu mencapai 93 peratus.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan semula PKP di negeri ini, sebanyak 136,059 permohonan rentas daerah dan negeri telah diterima dan sebanyak 129,214 permohonan telah diluluskan,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sepanjang PKP ini, para pegawai kanan Bukit Aman yang turun melawat lokasi sekatan jalan raya (SJR) bukan sahaja untuk tinjauan penugasan dan operasi pematuhan SOP malah untuk melihat aspek penambahbaikan serta kebajikan anggota polis yang bertugas di lapangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah pula berkata daerah itu turut mencapai tahap pematuhan SOP yang tinggi semasa pelaksanaan semula PKP.

“Kira-Kira 200 kompaun yang dikeluarkan adalah atas kesalahan cubaan melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah tanpa alasan yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berbentuk pek makanan dan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)  di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini. – BERNAMA 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button