Kad diskaun khas untuk menu Rahmah
BEBAN peniaga makanan menyediakan Menu Rahmah berikutan kenaikan harga barang boleh diatasi, apabila mereka memohon dan menggunakan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang menawarkan pembelian barang keperluan perniagaan dengan diskaun sehingga 40 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pihaknya, menyedari kekangan dihadapi mereka dan berusaha menyelesaikannya menerusi pendekatan tersebut.
“Masalah ini mungkin tidak dihadapi rangkaian restoran makanan segera, tetapi banyak dialami peniaga warung dan gerai kecil yang amat memerlukan margin keuntungan.
“Kita mendengar segala keluhan dan sudah memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, yang mana kad ini membolehkan peniaga berbelanja semua barangan basah dan keperluan perniagaan pada harga diskaun, meskipun hanya menyediakan satu Menu Rahmah di premis,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI dan pembukaan D’Mart Segi Fresh di Felda Jengka Tiga, di sini hari ini.
Fuziah bagaimanapun berkata, mash ramai dalam kalangan peniaga tidak menyedari kewujudan kad diskaun tersebut, biarpun sudah dilancarkan sejak November tahun lepas.
“Sebelum ini syarat permohonannya mungkin agak ketat, sebagai contoh peniaga perlu berniaga selama enam bulan, tetapi kini kita longgarkan bagi memudahkan perniagaan mereka.
“Kita menyedari permintaan Menu Rahmah tinggi dan dengan membantu peniaga berbelanja di tujuh pasar raya yang merupakan rakan strategik KPDN, ia secara tidak langsung membantu rakyat,” katanya.
Kredit – BERNAMA