Politik

K.E.R.J.A manifesto PN untuk pengundi Sungai Bakap

TIDAK sampai seminggu menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap pada 6 Julai ini, calon Perikatan Nasional (PN) menawarkan pakej ‘mesra rakyat dan realistik dalam aspek pelaksanaannya’ menerusi apa yang dilabelkan dengan akronim K.E.R.J.A.

Pemuda Pas dalam satu kenyataan berkata, calon PN, Abidin Ismail menawarkan manifesto atau iltizam yang mengetengahkan K.E.R.J.A sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat Sungai Bakap.

“‘K’ yang merujuk kepada ‘Khidmat kepada masyarakat’ bermaksud penyediaan pusat perkhidmatan masyarakat untuk kemudahan penduduk mendapatkan bantuan, program sukarelawan dan perkhidmatan bantuan kecemasan.

“‘E’ (Ekonomi dan peluang pekerjaan) pula membuka banyak peluang kepada usahawan dan bakal usahawan daripada sudut latihan, bimbingan dan kemahiran. Selain itu juga, menggalakkan produk pelancongan bagi membuka peluang pekerjaan untuk merancakkan ekonomi tempatan,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, ‘R’  (Rangkaian infrastruktur) merupakan tekad bagi menyelesaikan masalah-masalah bekalan air, penyelenggaraan jalan raya dan menambah baik kemudahan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“‘J’ (Jaminan mengutamakan rakyat) merujuk kepada skop dan ruang lingkup dari sudut suara rakyat dalam DUN, menjamin akan menentang polisi  yang membebankan rakyat dan mempertahankan hak dan kepentingan semua kaum.

“‘A’ (Amanah dan berintegriti) pula merujuk kepada aspek pemantauan projek daripada unsur rasuah dan salahguna kuasa, pengurusan yang berhemah dalam memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dan amanah dalam memberi laporan tahunan kepada rakyat Sungai Bakap,” tambah kenyataan berkenaan.

Tambah Pemuda PAS, kelima-lima tawaran daripada akronim K.E.R.J.A itu adalah kesinambungan perjuangan penyandang DUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff (Abang Zam) dengan pemantapan strategi yang lebih membumi.

“Jangan padamkan sinar harapan yang telah dibawa oleh Abang Zam selama tempoh sembilan bulan kebelakangan ini dengan tersalah mengundi.

“Kita kekalkan legasi perjuangan Allahyarham Abang Zam di Sungai Bakap dengan memberi mandat pula kepada Abang Abidin.

“Dengan sepenuh hati, Abang Abidin tekad menyambung legasi Allahyarham Abang Zam dengan kesungguhan beKERJA memperjuangkan rakyat tanpa memilih fahaman parti,” kata kenyataan itu.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button