Seorang jururawat lelaki dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencuri barang kemas milik isteri pesakitnya bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Fitri Abdul Nasir, 26, dan isterinya, Sofiah Abdul Rafiq, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri barang kemas berjumlah RM12,000 milik Kamisah Ali, 64, yang disimpan di dalam bilik tidur di tingkat bawah rumah di Vista Kirana, Ayer Keroh, di sini kira-kira pukul 10.00 pagi pada 17 Februari lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika disabitkan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya mesti dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Difahamkan, tertuduh lelaki berada di rumah itu untuk menjaga pesakitnya yang merupakan suami kepada pengadu.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan J.Banusha mencadangkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Umar Zulkarnain dalam rayuannya meminta jaminan rendah kerana Ahmad Fitri hanya bekerja sebagai jururawat manakala isterinya tidak bekerja selain perlu menyara empat anaknya yang masih kecil.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Mazana mengarahkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 18 April untuk serahan dokumen. – SM