Sukan

Jurulatih dan guru sukan diwajibkan ikuti kursus hak asasi manusia dan kanak-kanak

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan semua jurulatih dan guru sukan diwajibkan mengikuti kursus hak asasi manusia dan hak kanak-kanak sebelum mendapatkan lesen pengajar.

Pengerusinya, Rahmat Mohamad berkata, cadangan itu dibuat supaya insiden jurulatih bola tampar yang menampar dua pemainnya yang tular sebelum ini tidak berulang.

“Selaku penandatangan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) adalah menjadi tanggungjawab negara memastikan hak kanak-kanak untuk melibatkan diri secara bebas dalam aktiviti permainan dan rekreasi diiktiraf dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rahmat berkata, tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan lesen jurulatih terbabit adalah isyarat tegas kepada semua jurulatih dan guru sukan agar tidak mengasari anak murid mereka secara fizikal.

Beliau berkata, tindakan itu memberi jaminan kanak-kanak dan remaja tidak akan dikasari dan dijatuhkan maruah oleh mana-mana pihak apabila menyertai aktiviti sukan, kesenian atau kebudayaan.

“Sekiranya insiden sebegini tidak ditangani dengan sewajarnya, dikhuatiri emosi kanak-kanak akan terganggu dan mereka mungkin berasa takut untuk bermain serta menyertai aktiviti sukan,” katanya.

Pada 12 Januari lalu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jurulatih yang menampar dua pemainnya tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan itu terutama untuk murid sekolah.

Hannah memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Malaysia sebulat suara memutuskan jurulatih itu sepatutnya hilang kelayakan menjadi jurulatih selepas siasatan dimuktamadkan.

Sementara itu, Rahmat berkata, Suhakam turut menyarankan ibu bapa atau penjaga melaporkan kes kekasaran atau insiden yang menjatuhkan maruah anak mereka kepada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KBS atau KPM.

Katanya, ini sebagai usaha kolektif untuk menangani isu dengan lebih proaktif. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button