Alam Sekitar

Jumlah sisa plastik dilupuskan di Perlis membimbangkan

KUALA PERLIS 10 Okt. – Sebanyak 35 tan metrik sisa plastik dilupuskan setiap hari ke Ringkasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Rimba Mas, Padang Besar, Perlis berdasarkan Kajian Komposisi Sisa di Perlis yang telah dijalankan oleh syarikat Umpan Jaya Sdn. Bhd.

Sisa dalam jumlah yang tinggi ini perlu dielakkan daripada dilupuskan dan dibiarkan berakhir di tapak pelupusan oleh kerana sisa plastik ini akan mengambil masa di antara 500 ke 1000 tahun untuk reput sepenuhnya.

Kini dianggarkan sebanyak 1 juta botol plastik dibeli setiap satu minit di seluruh dunia, dan ini membawa kepada ancaman baharu dunia kerana dianggarkan dari data tersebut, sebanyak 1500 unit botol plastik akan dibuang setiap saat.

Maklumat tersebut telah dipersembah maklum oleh Pengarah Umpan Jaya Sdn. Bhd, Jaafar Sadeq Datuk Mohd. Noordin di majlis pelancaran Projek Pembinaan Sculpture ‘Sang Kerapu’ yang disempurnakan pelancarannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di
Kampung Seberang Ramai sempena ‘World Clean Up Day 2024’ di Kuala Perlis baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Nor Azman Talib dam Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian.

Turut hadir sama adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), SWCorp, Murali Jayabalan dan Pengarah SWCorp Perlis, Shamsuharizal Basir.

Sculpture khas ini telah direka bentuk untuk menerima buangan kitar semula dari jenis botol plastik Polyethylene Terephthalate (PET), dan mampu menampung kapasiti sebanyak 6500 unit botol plastik dengan anggaran jumlah berat sehingga 325 kilogram (kg). Justeru ianya seiring dengan simbolik sifar ‘Sang Kerapu’ ini iaitu pemangsa yang mampu menelan botol plastik dalam kapasiti yang banyak, sesuai dengan saiznya yang besar.

Pembinaan Sculpture untuk aktiviti kitar semula ini bermula dengan hasil cetusan idea Tuanku Raja Muda Perlis sendiri bagi mewujudkan sebuah Sculpture multi-fungsi, di mana asas binaan ini selain direka untuk aktiviti semua komuniti setempat, ianya juga dapat membantu mempromosikan kempen kitar semula, sekaligus menggalakkan penyertaan masyarakat di dalam aktiviti penjagaan alam sekitar.

Pihak SWCorp Negeri Perlis telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat Umpan Jaya serta berkolaborasi dengan pihak Kolej Vokasional Kangar bagi merealisasikan cetusan idea pembinaan Sculpture ini.

Untuk rekod, syarikat Umpan Jaya Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang berteraskan perkhidmatan kejuruteraan alam sekitar yang telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjalankan pengoperasian dan penyelenggaraan Pengurusan Stor Kerajaan (TPS), di Rimba Mas, Padang Besar.

Program ini juga merupakan manifestasi bagi nilai teras atau ‘core value’ Umpan Jaya iaitu ‘Engineering Sustainability’ yang merupakan amalan kejuruteraan yang mampan demi masa depan.

Di program yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat sempena Program Berbasikal MAIPs Peduli yang diadakan di beberapa buah rumah asnaf terpilih iaitu kepada Romalis Riduani, Roslin Othman dan Amran Bahari kesemuanya di sekitar Kuala Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button