Nasional

Jualan Keluarga Malaysia dilanjutkan sehingga Februari

Jualan Keluarga Malaysia bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang akan diteruskan sehingga Februari tahun depan. Bagaimanapun jika harga masih tinggi sehingga Februari program berkenaan akan disambung sehingga harga di pasaran menjadi murah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melancarkan program berkenaan di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai hari ini berkata, Jualan Keluarga Malaysia akan diadakan di semua 222 Parlimen bermula Sabtu ini.

Dengan harga barang keperluan harian 20 hingga 50 peratus lebih murah, berbanding tempat lain jualan akan diadakan di dua tempat di setiap Parlimen dengan lokasi yang dipilih dihuni oleh penduduk dalam kalangan kumpulan B40 dan M40.

“Perancangan awal diadakan selama dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen dan kita sasarkan hingga Februari tahun depan.

“Kita akan lihat bergantung kepada keadaan situasi harga. Kalau harga berterusan tak turun, kita akan meneruslan program ini sehinggalah harga barang turun,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau gerai yang menjual barangan serta melihat reaksi rakyat.

Program Jualan Keluarga Malaysia dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Kewangan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) membabitkan semua kementerian minggu depan bagi mencari jalan campurtangan berkaitan harga  untuk terus membantu rakyat.

Kerajaan katanya, tidak akan berkompromi dengan peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab dengan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang tidak beretika dan mengambil kesempatan.

“Sebagai contoh sebelum ini, harga ais batu dinaikkan walaupun tarif elektrik tak naik. Itu berlaku dikatakan sebab kos pengangkutan. Jadi melalui mesyuarat itu, kita akan juga babitkan Kementerian Pengangkutan untuk mencari jalan intervensi,” katanya.

Sebelum ini kerajaan katanya telah melakukan tindakan intervensi dengan memperuntuk bantuan berjumlah RM262 juta bagi membantu peladang yang terjejas, susulan kenaikan harga baja dan racun.

Kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman dalam sektor agromakanan bagi mengatasi masalah kenaikan harga bahan makanan dengan menetapkan kadar faedah sifar.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Rosol Wahid.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button