Rencah Hidup

Jual tanglung ‘online’ lebih laku sekarang

SAMBUTAN festival kuih bulan yang bakal disambut pada Oktober ini pasti tidak meriah tanpa warna-warni cahaya pelbagai jenis tanglung tradisional.

Namun, pasti wujud kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya masyarakat China untuk keluar ke kedai membeli tanglung.

Kebimbangan tersebut pastinya terhadap penularan pandemik Koronavirus (Covid-19) dan ia menyebabkan penjualan tanglung bagi sambutan festival kuih bulan menurun.

Walau bagaimanapun, hal demikian dapat ditangani melalui kaedah penjualan secara dalam talian atau online seperti kebanyakan peniaga lakukan sekarang.

Justeru, peniaga di Pulau Pinang mengambil inisiatif memasarkan produk tanglung melalui video siaran langsung atau live dalam media sosial.

Lebih menarik, kaedah sedemikian dikatakan mampu meningkatkan jualan tanglung tradisional untuk memeriahkan sambutan festival kuih bulan pada 1 Oktober ini.

Selain terkenal sebagai tradisi sambutan festival berkenaan, tanglung adalah sentiasa menjadi tarikan bagi rakyat Malaysia dan warga asing di restoran.

Malah satu tinjauan dilakukan Bernama mendapati, lebih 2,000 tanglung kertas kaca berwarna-warni digantung di dalam premis.

Kesemua itu adalah untuk dijual pada harga antara RM12 hingga RM45 setiap satu.

“Setakat ini, sambutan daripada siaran langsung yang dibuat agak baik dan kami mungkin akan melakukannya lebih kerap.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik ini dan larangan perjalanan antarabangsa, kami kehilangan kira-kira 50 peratus daripada hasil jualan (tanglung).”

Kata pengasas kumpulan Maxim Pang Khek Seng kepada agensi berita itu hari ini.

Menurut beliau, walaupun jualan menurun sehingga 50 peratus, namun melalui kaedah penjualan dalam talian dijangka dapat menampung sedikit sebanyak kerugian yang dialami.

Malah, beliau turut dilihat optimis terhadap fasa pemulihan yang sedang dialami negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sekiranya, keadaan semakin pulih dan penularan wabak segera berakhir, Khek Seng berharap perniagaan dapat pulih seperti sebelum ini.

“Namun, kita cukup beruntung kerana Malaysia adalah satu daripada negara yang berjaya menangani keadaan pandemik ini.

“Kita harus bersyukur dengan situasi itu,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button