JPM buat soal selidik cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori
JABATAN Perdana Menteri di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang melakukan soal selidik mengenai cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori.
Soal selidik secara dalam talian itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas umum mengenai cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori tertakluk kepada budi bicara Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman selain daripada hukuman mati.
Soal selidik yang bermula hari ini hanya perlu dijawab oleh mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
Sebanyak 12 soalan ditanya antaranya; Jika mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati, apakah hukuman alternatif yang dicadangkan? Sila beri cadangan.
Turut ditanya ialah; Pada pandangan anda, adakah hukuman mati bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia?, Adakah anda setuju pemansuhan hukuman mati akan memberi kesan kepada ekonomi negara?, Adakah pemansuhan hukuman mati mandatori dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan masyarakat /orang ramai?
Hukuman mati dicadangan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Pada 14 Oktober tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan Parlimen.
Katanya, terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.
Justeru jika kerajaan mahu menghapuskan hukuman mati bukan hanya terhadap kes-kes tertentu tetapi perlu meliputi semua kes.
Cadangan kerajaan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada banyak pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan keluarga mangsa bunuh yang beranggapan pemansuhan hukuman itu sebagai tidak adil kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat perbuatan kejam oleh individu tidak berperikemanusiaan.
Pada 22 April lalu, Vui Keong mengumumkan penagguhan cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan kerana masih ada beberapa isu berbangkit.
Hukuman mati ialah hukuman paling berat yang dijatuhkan ke atas penjenayah. Hukuman ini membawa maksud penjenayah dinafikan nyawa, iaitu nyawanya dikeluarkan dari jasad mengikut prosedur pelaksanaan hukuman yang ditetapkan undang-undang.
Di Malaysia, hukuman berkenaan dilaksanakan dengan cara digantung sampai mati. Ia tidak boleh dilaksanakan dengan cara seperti dikenakan kejutan elektrik, dipancung, disula atau ditanam hidup-hidup.
Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah dengan jelas menetap hukuman itu dilaksanakan dengan digantung lehernya sehingga mati.
Menurut Amnesty International, sejumlah 142 negara yang telah memansuhkan hukuman mati atau mengumumkan moratorium terhadap hukuman itu, sementara 56 negara lagi masih mengekalkannya.
Dalam 142 negara itu, sejumlah 106 telah memansuhkannya sama sekali, tujuh memansuhkan sebahagian manakala 29 lagi menangguhkan hukuman.
Malaysia dalam 56 negara yang masih melaksanakannya, bersama-sama China, Jordan, Singapura dan Mesir.
Di kalangan 11 negara di Asia Tenggara, enam sudah memansuhkannya atau menangguhkan hukuman, iaitu Kemboja, Filipina, Laos, Brunei, Timor Timur dan Myanmar.
Lima negara yang belum berbuat demikian ialah Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Soal selidik boleh didapati di link ini: http://apps.bheuu.gov.my/survey/index.php?sid=19574&lang=ms&fbclid=IwAR28-Zy_tDFjrjXPBbomik6JqZ7_Ymk5cSLG9prCBOfZPsAwXZ-NoKWOhnY