Politik

Johor bakal gegarkan politik Malaysia pada 7.3 skala richter

POLITIK negara didakwa bakal bergegar semula dan gegaran itu akan bermula di Johor pada 7.3 skala richter, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Melalui sesi dialog secara langsung di Facebook malam tadi beliau optimis gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

“Saya cukup optimis. Kenapa tidak kita mulakan Johor sebagai negeri yang akan buat suatu gegaran 7.3 skala richter untuk gegarkan politik Malaysia.

“Segala-galanya boleh berlaku di Johor dan kami sekarang tengah usaha ke arah itu… tunggu dan lihat. Dari arus Selat Tebrau akan membawa perubahan besar di Putrajaya,” katanya.

Dua hari lepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan mempunyai sokongan daripada 129 Ahli Parlimen.

Anwar ketika sesi bersiaran secara langsung di Facebooknya bagaimanapun berkata semuanya masih dalam proses dan belum dimuktamadkan.

Malah kata Anwar, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Ahli Parlimen PKR sehari sebelumnya.

Sementara itu ketika bercakap kepada Malaysiakini, Salahuddin turut mengakui dakwaan PH memiliki sokongan 129 Ahli Parlimen hanya khabar angin.

Beliau juga tidak memberikan jawapan yang jelas apabila ditanya sama ada benar mereka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button