Nasional

Johor akan menggunakan konsep HDB Singapura

Ianya akan dijadikan sebagai penanda aras oleh PKPJ dalam pembangunan rumah mampu milik di Johor

PERBADANAN Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan menjadikan pelaksanaan konsep pembangunan Housing Development Board (HDB) Singapura sebagai penanda aras dalam menyediakan perancangan pembangunan perumahan mampu milik yang komprehensif di setiap daerah di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata untuk melakukan ini, PKPJ perlu mengambil tindakan drastik dengan mempunyai pangkalan data perancangan pembangunan perumahan yang terperinci dan berfokus bersama agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan PR1MA Malaysia, Pentadbiran Tanah, Jabatan Perancangan (PLANMalaysia) dan bank-bank supaya satu garis masa dan kaedah pemantauan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata PKPJ juga akan berperanan memastikan semua rancangan pembangunan dilaksanakan mengikut jadual dan garis masa supaya penyediaan rumah mampu milik dapat disediakan dan memenuhi permintaan tempatan.

“InsyaAllah dengan jentera pentadbiran yang dibentuk bersama kekuatan PKPJ dan koordinasi bersama lain-lain jabatan, hasrat dan iltizam ini InsyaAllah akan berjaya direalisasikan,” katanya dalam laman Facebooknya pada Selasa (19 April).

Onn Hafiz juga berkata beliau telah melawat HDB di Singapura, yang telah membina kira-kira 1.2 juta rumah mampu milik sejak ia ditubuhkan pada 1960.

Tambahnya, lawatan kerja empat hari ke Singapura yang bermula Sabtu lalu adalah langkah mengeratkan hubungan antara negeri itu dan republik itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button