Birmingham: Atlet gimrama, Ng Joe Ee berkata dia tidak menyangka sama sekali dapat meraih dua emas berganda pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, hari ini, selepas kemarau pingat sepanjang dua hari lalu.
Joe Ee, 17, mencipta kejutan apabila meraih pingat kejuaraan untuk kontinjen negara menerusi disiplin bola dan riben dalam saingan di Arena Birmingham.
Paling manis, dua pingat itu juga berjaya memenuhi sasaran enam emas yang ditetapkan kontinjen negara pada temasya kali ini.
“Ya, saya sendiri terkejut dapat dua emas kerana ini adalah penampilan pertama saya pada temasya ini,” katanya selepas pertandingan berakhir.
Joe Ee pada temasya ini turut menjadi sandaran kontinjen meraih pingat, namun beban memenangi emas diletakkan dibahu Koi Yie San yang beraksi di Gold Coast, Australia empat tahun lalu.
Pada saingan tadi, dia memperoleh pingat kejuaraan menerusi disiplin riben selepas mendapat 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran Suzanna Shahbazian dari Kanada yang memperoleh 29.050 mata bagi meraih perak.
Gangsa pula dimenangi, Anna Sokolova dari Cyprus yang mendapat 28.800 mata.
Dalam disiplin bola pula dia berjaya mendapat 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran tujuh pencabar lain.
Pemenang perak disiplin ini dimenangi Shahbazian dengan kutipan 29.050 mata manakala gangsa milik Sokolova (28.800).
Mengulas lanjut, Joe Ee berkata kejayaannya meraih dua emas berganda itu selepas dimotivasikan menerusi dua kegagalan awal mereka sebelum itu.
Pada perebutan pingat bagi acara berpasukan, skuad negara hanya mampu menduduki tempat keempat manakala acara all-around, dia ditempat kelima.
“Saya mendapat motivasi untuk bangkit pada dua acara terakhir ini (bola dan riben) selepas kami gagal merraih ingat acara berpasukan dan all-around,” katanya yang turut mendapat motivasi daripada keluarganya dalam sukan berkenaan.
Joe Ee turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada jurulatih, keluarga dan semua rakan sepasukan yang membantu beliau selama ini.
Mengenai perancangan selepas ini, Joe Ee berkata dia mahu mempertahankan pingat emas berganda itu pada temasya akan datang.
Selain Joe Ee, skuad gimrama negara turut meraih satu gangsa menerusi Izzah Amzan dalam acara belantan.
Koi Sie Yan yang membawa tiga perak dan satu gangsa di Gold Coast pulang tangan kosong kali ini selepas hanya layak bersaing dalam acara riben dan berpasukan.