Muhyiddin mahu jumpa Joe Biden
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengucapkan tahniah kepada calon Parti Demokrat, Joe Biden kerana menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Menurut Muhyiddin, sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia sangat mementingkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat.
“Pengundi memutuskan untuk menyokong Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46 berdasarkan kepemimpinan dan wawasan yang dibawanya.
“Kerjasama Komprehensif AS-Malaysia terus menjadi kerangka yang menyeluruh untuk hubungan yang pro-aktif, merangkumi semua aspek dan saling bekerjasama yang baik antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Biden telah melepasi jumlah undi untuk menang 270 dengan memperolehi 279 undi berbanding Donald Trump 214 undi.
Kemenangan itu juga mencatat sejarah Senator Kamala Harris dari California, yang akan menjadi wanita pertama yang bertugas sebagai naib presiden.
Dengan kemenangannya, Biden, yang berusia 78 tahun akhir bulan ini, memenuhi cita-citanya selama bertahun-tahun dalam usaha ketiga untuk masuk ke Rumah Putih, menjadi orang tertua yang dipilih sebagai presiden.
Muhyiddin berkata, Malaysia mahu memperkukuhkan lagi perkongsian dengan AS dengan pemilihan presiden baharu ini di saat masyarakat antarabangsa sedang berusaha menangani pelbagai cabaran global kesan daripada pandemik COVID-19.
“Saya doakan Presiden yang dipilih, Joe Biden berjaya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai presiden dan berharap untuk bertemu dengannya secara peribadi jika ada kesempatan,” jelasnya. -SM